PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman, pagi ini, bagi mengikuti prosiding rayuan akhir yang bakal menentukan nasibnya dalam kes membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dilihat tiba kira-kira pukul 8.55 pagi sebelum memasuki Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan yang dinanti-nantikan.
Mahkamah Persekutuan dijadualkan memutuskan sama ada keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram akan dikekalkan atau diketepikan.
Keputusan itu merupakan penentu terakhir dalam proses perundangan selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Ahli Parlimen Muar berkenaan.
Sebelum ini, pada 30 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penyampaian keputusan rayuan akhir selepas seorang daripada tiga hakim yang menganggotai panel gagal menghadiri prosiding kerana cuti sakit.










