Rosmah Ucap Tahniah Buat BN Johor, Sempat Berseloroh Mengenai Meme Wajahnya

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Johor susulan kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mendoakan agar BN terus mencipta kejayaan pada masa hadapan.

“Semoga terus berjaya,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Rosmah turut mencuri perhatian apabila secara berseloroh bertanya siapakah individu yang menghasilkan meme memaparkan wajahnya tersenyum pada sebuah poster mengucapkan tahniah kepada BN.

Poster berkenaan memaparkan mesej berbunyi, “Kemenangan Rakyat! Terima Kasih Pengundi Johor. Kamu Semua Luar Biasa,” yang tular di media sosial sejurus keputusan pilihan raya diumumkan.

Tiga hari sebelum hari pengundian, Rosmah lantang mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang didakwanya menggunakan wajah serta imej beliau dalam bahan kempen PRN Johor.

Beliau menyifatkan tindakan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu sebagai propaganda murahan yang tidak mencerminkan imej seorang Menteri Persekutuan.

Menurut Rosmah, seorang anggota Kabinet sepatutnya mempamerkan politik yang lebih matang dan bukannya menggunakan bahan yang didakwa berunsur fitnah serta manipulasi demi meraih sokongan pengundi.

“Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi seperti budak pejabat parti yang terdesak mengejar undi,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles