Zahid Mahu Kemenangan Besar BN Di Johor Jadi Pemangkin ‘Gelombang Biru’ Menjelang PRN N. Sembilan

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan besar parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai titik tolak untuk mencetuskan ‘gelombang biru’ di negeri-negeri lain menjelang siri pilihan raya akan datang.

Berucap pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor hari ini, beliau berharap kejayaan BN yang secara tidak rasmi memperoleh lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu diterjemahkan kepada sokongan lebih besar dalam PRN Negeri Sembilan, sebelum menghadapi PRN Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

“Insya-Allah kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada gelombang biru di negeri-negeri lain. Dalam masa terdekat kita akan berdepan PRN Negeri Sembilan, diikuti Melaka dan akhirnya PRU Ke-16,” katanya.

Presiden UMNO itu turut memberi jaminan bahawa segala komitmen yang terkandung dalam manifesto BN akan dilaksanakan demi memastikan kebajikan rakyat Johor terus terbela.

Menurut beliau, kepimpinan di peringkat pusat akan memantau prestasi pentadbiran kerajaan negeri secara berterusan selain memastikan setiap isu rakyat ditangani dengan berkesan bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

Mengulas kemenangan tersebut, Ahmad Zahid berkata keputusan itu bukan sahaja membuktikan keyakinan rakyat terhadap BN, malah menjadi pengiktirafan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, rekod pentadbiran Onn Hafiz sepanjang empat tahun, tiga bulan dan 19 hari menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan BN mempertahankan kepercayaan rakyat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri baharu yang bakal dibentuk akan dipimpin dengan lebih berkesan dan mencapai prestasi yang lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menegaskan kemenangan BN di Johor tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, beliau yakin kerjasama antara kerajaan negeri pimpinan BN dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh selepas mendapat perkenan Sultan Johor, sekali gus memastikan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan termasuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dapat diteruskan demi manfaat rakyat dan kemajuan negeri.

BBerkaitan

Latest articles