‘Insya-Allah Lepas 40 Kerusi’ – Zahid Yakin BN Cipta Kemenangan Besar Di Johor

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melahirkan keyakinan gabungan itu berupaya melepasi pencapaian 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun menegaskan semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, perkembangan semasa memberi petanda positif kepada BN untuk mencatat keputusan cemerlang, tetapi keputusan muktamad hanya akan disahkan selepas SPR mengumumkannya secara rasmi.

“Insya-Allah kita akan lepas 40 kerusi. Dengar pengumuman daripada Suruhanjaya secara rasminya nanti, kita akan dengar,” katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi Facebook UMNO Online pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang disifatkan telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO, parti-parti komponen BN, Friends of BN serta jentera Wanita, Pemuda, Puteri, bahagian dan cawangan yang memainkan peranan penting dalam menghadapi PRN Johor.

Katanya, kejayaan yang bakal dicapai diharapkan menjadi pemangkin untuk memperkukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai negeri peneraju pembangunan dan kemajuan negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua wakil rakyat yang bakal dipilih supaya menggalas amanah dengan memberikan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Yang paling penting ialah, insya-Allah wakil-wakil rakyat yang terpilih nanti harus terus memberikan perkhidmatan, bukan hanya kepada pengundi-pengundi, tetapi kepada seluruh rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Kerana kita akan diuji semula empat atau lima tahun akan datang. Jadi pastikan apa yang kita lakukan selepas ini akan memberikan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, insya-Allah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles