JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) dilihat semakin hampir untuk kembali menerajui Johor apabila didakwa mendahului di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 6.27 petang, Sabtu.
Maklumat itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook yang memaparkan kedudukan semasa keputusan pilihan raya.
Menurut paparan tersebut, Pakatan Harapan (PH) ketika ini hanya mendahului di tujuh kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN), Bersama dan MUDA masih belum berada di hadapan di mana-mana kerusi.
Namun begitu, angka berkenaan hanyalah keputusan tidak rasmi dan belum mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Keputusan muktamad hanya akan diketahui selepas SPR selesai menerima serta mengesahkan semua keputusan penjumlahan undi daripada pusat-pusat penjumlahan rasmi sebelum membuat pengumuman rasmi.










