“Kempen Bergantung Kepada Sentimen Takut Bukti PH Tak Yakin Dengan Kemampuan Diri”

KUALA LUMPUR: Dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang terus memainkan naratif kononnya PAS serta Perikatan Nasional (PN) merupakan ancaman kepada masyarakat berbilang kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai petanda mereka semakin terdesak untuk meraih sokongan pengundi, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, kempen berasaskan sentimen ketakutan itu bukan perkara baharu, malah pernah digunakan ketika enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tiga tahun lalu dengan melabelkan PAS dan PN sebagai ancaman terhadap keharmonian masyarakat, kebebasan beragama serta masa depan negara.

Katanya, tindakan terus memainkan naratif sedemikian memperlihatkan PH dan DAP semakin bergantung kepada politik ketakutan berbanding menawarkan dasar, rekod pentadbiran serta penyelesaian yang mampu meyakinkan rakyat.

“Apabila kempen mula bergantung kepada sentimen takut, ia sering menggambarkan satu perkara, parti berkenaan kurang yakin dengan kekuatan tawaran dasar, rekod prestasi dan keupayaan meyakinkan rakyat melalui hujah yang rasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya PH dan DAP benar-benar mahu pengundi menolak PAS, mereka sepatutnya berhujah berdasarkan aspek polisi, tadbir urus, ekonomi atau pendekatan pentadbiran, bukannya membina persepsi bahawa kemenangan PAS akan menggugat kehidupan masyarakat bukan Melayu.

Menurutnya, seruan supaya pengundi bukan Melayu keluar mengundi bagi menolak “gelombang hijau” sering disampaikan dengan nada yang memberi gambaran seolah-olah PAS akan mengancam cara hidup mereka.

Malah, beliau menyifatkan keadaan itu sebagai bercanggah dengan pendirian pihak yang sering mendakwa menolak politik 3R, iaitu isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja, namun dilihat tidak teragak-agak menggunakan sentimen tersebut apabila berdepan PAS.

Tuan Ibrahim turut menyifatkan dakwaan DAP bahawa PAS mampu mengancam masyarakat bukan Islam sebagai tidak berpijak pada realiti memandangkan parti itu hanya bertanding di 11 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor kali ini.

Beliau berkata, walaupun PN menyasarkan kemenangan 33 kerusi, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan PAS seolah-olah berada di ambang menguasai kerajaan negeri secara bersendirian dan mengubah keseluruhan landskap Johor.

“Dengan jumlah kerusi yang ditandingi PAS, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan PAS seolah-olah berada di ambang mengambil alih kerajaan negeri secara bersendirian dan mengubah keseluruhan wajah Johor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak mengamalkan politik yang lebih matang dengan mendidik rakyat menerima perbezaan pandangan secara aman, bukannya menanam syak wasangka antara kaum dan agama.

Katanya, walaupun politik berasaskan ketakutan mungkin mampu mencetuskan kebimbangan dalam tempoh singkat, pendekatan sedemikian akhirnya hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

BBerkaitan

Latest articles