KEMPAS: Misteri lambakan kain rentang provokasi yang mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan pembebasan Datuk Seri Najib Razak akhirnya terjawab apabila ia didakwa didalangi oleh pegawai khas dari dua kementerian Kerajaan Pusat.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa, hasil maklumat dan siasatan mendapati perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang berkhidmat sebagai pegawai khas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pendidikan (KPM).
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, taktik kotor tersebut sengaja dicaturkan oleh pihak lawan bagi memburukkan imej BN seolah-olah gabungan itu cuba mendahului undang-undang dan kuasa institusi diraja.
“Laporan yang kita terima jelas membuktikan kain rentang ini bukan kerja jentera kita (BN), tetapi ada penglibatan pegawai khas daripada KPKT dan KPT yang sengaja turun ke Johor untuk gantung kain rentang isu Datuk Seri Najib.
“Mereka sengaja buat provokasi ini kerana sudah ketandusan modal politik untuk menyerang momentum Barisan Nasional di Johor,” katanya ketika berucap pada program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas di Taman Chempaka, malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi komponen BN.
Mengulas lanjut, Ka Siong mengingatkan jentera pihak lawan agar tidak mengheret pegawai kerajaan atau menggunakan kedudukan dalam kementerian demi kepentingan politik kepanduan menjelang hari pengundian.
Katanya, taktik ‘baling batu sembunyi tangan’ itu sama sekali tidak akan memberi kesan kepada kematangan pengundi Johor yang kini lebih fokus kepada agenda pembangunan dan kestabilan ekonomi negeri di bawah BN.










