KEMPAS: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, yang berulang kali mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, untuk berdebat sebagai gimik politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut Khairy, desakan berterusan itu tidak akan mengubah persepsi pengundi, malah beliau mendakwa Maszlee bukan berada pada kedudukan yang setaraf dengan Onn Hafiz untuk berdebat.
“Yang sibuk cabar Onn Hafiz untuk debat ini, tuan-tuan dan puan-puan, Anwar (Ibrahim) pun tak yakin dengan dia. Anwar pun tidak lantik dan tidak namakan dia sebagai calon Menteri Besar.
“Tapi hari-hari duk meratib debat, debat, debat… sampai semalam pun masih debat. Apa benda ini?” katanya ketika berucap pada program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas di Taman Chempaka, malam ini.
Khairy turut menyindir rekod perkhidmatan Maszlee ketika menjadi Menteri Pendidikan dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang menurutnya tidak meninggalkan legasi besar untuk dibanggakan rakyat Johor.
“Kita tahulah… awak tak dapat mansuhkan tol Simpang Renggam. Kejayaan di Simpang Renggam, McD (McDonald’s) saja.
“Kita juga tahu legasi hampir satu tahun setengah jadi Menteri Pendidikan, kasut hitam. Sebab itu awak bukan level Onn. Tak payah nak debat,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau sendiri tampil menyahut cabaran debat itu sebelum ini kerana tidak mahu Onn Hafiz melayan provokasi pihak lawan.
“Nasib baik hari itu saya turun. Saya tak nak Onn Hafiz jawab sebab bukan level dia untuk jawab. Saya jawab bagi pihak dia.
“Kalau nak debat dengan Menteri Besar saya, tampilkan dulu calon Menteri Besar anda. Ada atau tidak?” katanya yang disambut sorakan penyokong Barisan Nasional(BN).
Beliau turut berpandangan bahawa rakyat Johor sudah mampu menilai sendiri prestasi dan kredibiliti Onn Hafiz sepanjang menerajui pentadbiran negeri, justeru pentas debat bukan ukuran utama untuk menentukan keupayaan seseorang pemimpin.










