Sultan Pahang Tegaskan Surau Pusat Beli-Belah Tak Boleh Dilaksana Sewenang-wenangnya

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk membenarkan surau atau musolla di pusat beli-belah mendirikan solat Jumaat di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mematuhi hukum syarak serta tertakluk kepada bidang kuasa pentadbiran agama Islam negeri.

Menerusi titah baginda, urusan berkaitan masjid, surau dan musolla di Pahang berada di bawah bidang kuasa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, yang bertindak sebagai pihak berkuasa agama mewakili Sultan Pahang.

Perkara itu dimaklumkan Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, yang berkata Jabatan Mufti Pahang bersama MUIP menjunjung titah baginda untuk terus memelihara dan memartabatkan institusi masjid serta surau di negeri berkenaan.

Menurut beliau, Sultan Pahang turut memperkenankan penegasan Jabatan Mufti bahawa pelaksanaan solat Jumaat wajib memenuhi syarat sah menurut Mazhab Syafie, termasuk didirikan dalam waktu Zuhur, didahului dua khutbah serta dihadiri sekurang-kurangnya 40 lelaki mukallaf yang bermastautin.

Katanya lagi, solat Jumaat juga hendaklah dilaksanakan di lokasi yang telah dikhususkan dan tidak boleh bertindih dengan masjid atau surau kebenaran Jumaat berhampiran, kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak selepas mendapat keputusan Mufti sebelum dipersembahkan untuk perkenan Sultan.

Beliau berkata, baginda turut mengambil maklum bahawa perancangan pembangunan masjid di Pahang telah disusun dengan mengambil kira keperluan masyarakat, termasuk kewujudan masjid dan surau kebenaran Jumaat di kawasan tumpuan awam supaya institusi sedia ada terus diimarahkan serta berperanan sebagai pusat penyatuan umat Islam.

Dalam masa sama, baginda menegaskan MUIP merupakan pihak berkuasa yang mewakili Sultan Pahang dalam hal ehwal pentadbiran masjid, surau dan musolla selaras dengan peruntukan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Antara lokasi yang telah tersedia untuk kemudahan solat Jumaat di kawasan bandar ialah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra berhampiran Malay Town dan Kuantan City Mall, selain Masjid Bandaraya yang bakal dibuka serta Masjid Al-Shafie di Kota SAS.

Untuk rekod, Pahang kini mempunyai sebanyak 702 masjid dan surau kebenaran Jumaat di seluruh negeri.

Sebelum ini, Zulkifli Hasan menggalakkan kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan solat Jumaat di pusat beli-belah susulan sambutan baik terhadap inisiatif itu di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini tidak memperkenankan pelaksanaan solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah di Selangor, dengan Datuk Salehuddin Saidin menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa prerogatif Sultan Selangor dalam urusan pentadbiran agama Islam negeri.

BBerkaitan

Latest articles