KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk hadir ke mahkamah bagi mengikuti pendengaran rayuan yang difailkan Majlis Peguam berhubung keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang mengurangkan hukuman penjara serta denda dikenakan ke atas beliau dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Abdul Aziz dan Datuk Lim Hock Leng selepas membenarkan permohonan secara ex parte untuk mengeluarkan Perintah Mengemukakan Orang Tahanan (OTP).
Permohonan tersebut dikemukakan peguam Najib, M. Naresh, bagi membolehkan anak guamnya dibawa dari Penjara Kajang untuk menghadiri prosiding rayuan yang dijadual berlangsung pada 31 Julai ini.
Rayuan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada November tahun lalu yang menolak permohonan Majlis Peguam mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
Pada 26 April 2024, Majlis Peguam memfailkan tindakan undang-undang dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Melalui permohonan itu, Majlis Peguam meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024 yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan dan terbatal.
Badan itu turut mencabar keputusan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta, termasuk syarat bahawa kegagalan menjelaskan denda berkenaan akan menyebabkan tempoh pemenjaraan dilanjutkan selama setahun.
Keputusan Lembaga Pengampunan itu membolehkan Najib dibebaskan lebih awal pada 23 Ogos 2028, manakala sekiranya denda RM50 juta gagal dijelaskan, tarikh pembebasannya akan dilanjutkan ke 23 Ogos 2029.
Najib, 71, mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau kemudian mengemukakan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022 sebelum Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara dan jumlah denda yang dikenakan.










