MUAR: PAS menyifatkan kehadiran kerap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turun padang berkempen dari pagi hingga ke malam di Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai isyarat jelas bahawa Pakatan Harapan (PH) kini sedang berada dalam situasi panik.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ‘butang panik’ tersebut terpaksa ditekan oleh pimpinan tertinggi kerajaan berikutan petunjuk jelas daripada referendum rakyat yang mula menolak gabungan berkenaan.
Menurut beliau, situasi tersebut amat jarang berlaku bagi seorang pemimpin nombor satu negara untuk meluangkan masa yang begitu padat demi sebuah kempen pilihan raya.
”Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menekan panic button (butang panik) kerana beliau sudah rasa tidak selesa dengan jangkaan keputusan di Negeri Johor. Dari pagi sampai ke petang, datang ke Negeri Johor untuk berkempen.
”Seorang Perdana Menteri jarang sekali menumpukan masa yang begitu banyak untuk berkempen, tetapi kali ini beliau turun dengan begitu rajin. Ini menunjukkan PH sudah panik kerana mereka tahu mereka sedang ditolak oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale PRN Johor Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram, malam tadi.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan, gelombang penolakan terhadap PH bukan suatu perkara baharu, sebaliknya telah terbukti melalui siri Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri sebelum ini.
Meskipun keputusan di negeri-negeri tersebut berakhir dengan status quo, beliau menegaskan kemenangan yang diperoleh PH di kubu kuat mereka seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan adalah dalam keadaan yang tidak selesa.
”Jelas referendum rakyat menolak PH. Di negeri-negeri PN, kita menang besar di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Tetapi di negeri-negeri mereka, mereka menang dengan tidak selesa.
”Malah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) terakhir di DUN Sungai Bakap, rakyat Pulau Pinang sendiri turut menolak mereka. Begitu juga di Sabah apabila mereka ditolak secara total. Jadi, apa kejadahnya rakyat Johor nak pilih PH? Jangan cari masalah,” bidasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai persediaan PN, Ahmad Fadhli menyatakan keyakinan penuh bahawa 11 medan pertarungan yang ditandingi gabungan itu di Johor bakal menjadi titik mula kepada kebangkitan semula rakyat untuk melakukan perubahan total.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar memanfaatkan baki tempoh berkempen yang ada untuk terus menyantuni pengundi di peringkat akar umbi demi memastikan kemenangan berpihak kepada PN pada hari pengundian Sabtu ini.
”Kita kumpulkan seluruh kekuatan kita untuk menyatakan kepada rakyat Johor bahawa PAS dan Perikatan Nasional bersedia menggalas amanah, memikul tugas rakyat, dan menjulang kemenangan insya-Allah,” katanya.










