Asyraf Wajdi Nafi Jelajah TVET MARA Jadi Pentas Kempen PRN Johor

JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak dakwaan bahawa Program Jelajah TVET MARA di Johor baru-baru ini dijadikan platform berkempen untuk Barisan Nasional (BN), sebaliknya menegaskan ia merupakan program nasional yang berlangsung di seluruh negara.

Menurut beliau, program berkenaan dianjurkan bagi memperkenalkan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan muda, bukannya mempunyai agenda politik seperti yang didakwa.

Katanya, siri jelajah yang diadakan di Johor itu merupakan penganjuran ke-108 daripada keseluruhan 191 Parlimen yang bakal dikunjungi di seluruh negara.

“Program ini tiada kaitan dengan parti politik. Tiada logo parti, tiada sepanduk parti dan sebagainya. Apa yang tular hanyalah sebahagian daripada keseluruhan program dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

“Menteri Besar Johor hadir atas kapasitinya sebagai Menteri Besar. Itu sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Usahawan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Asyraf yang juga Pengerusi MARA turut menjelaskan penyertaan pelajar dalam program tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang unsur paksaan.

Beliau mengulas kritikan lima calon Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu yang mendakwa BN menggunakan Jelajah TVET sebagai medium berkempen bagi menarik sokongan pengundi muda menjelang pilihan raya.

Menurut calon PH berkenaan, program TVET sepatutnya memberi fokus kepada pendedahan mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan prospek kerjaya, bukannya diselitkan unsur politik.

Kontroversi itu tercetus selepas tular rakaman video memaparkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dipercayai menggesa hadirin memberi sokongan kepada calon BN ketika menghadiri program Jelajah TVET tersebut.

BBerkaitan

Latest articles