MPI, PUSPAKOM Berganding Bahu Tingkat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Melalui Literasi Media

CYBERJAYA: Malaysian Press Institute (MPI) dan PUSPAKOM Sdn. Bhd. bakal menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya menerusi program literasi media dan kempen komunikasi awam.

Kerjasama itu dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, dan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya, hari ini.

Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kepentingan penyelenggaraan kenderaan, amalan pemanduan selamat serta perkembangan teknologi dalam industri pemeriksaan kenderaan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat kecekapan proses pemeriksaan.

Mahmood berkata, kerjasama itu berpotensi menjadi platform berkesan untuk menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan jalan raya secara lebih tepat, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata, PUSPAKOM menyambut baik cadangan berkenaan kerana percaya ia mampu memberi manfaat besar kepada orang ramai, selain berharap pelaksanaannya dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Yong berkata, MPI akan meneliti pelbagai bentuk pelaksanaan termasuk pembangunan modul literasi media, latihan, kempen komunikasi awam dan program pendidikan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai isu keselamatan jalan raya.

Pada majlis sama, PUSPAKOM turut menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada MPI sebagai sokongan terhadap penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung pada 17 Julai ini di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.

Penajaan itu merupakan tahun ketiga berturut-turut syarikat berkenaan menyokong penganjuran acara tahunan tersebut.

Mahmood berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen PUSPAKOM dalam memperkasakan kewartawanan profesional serta mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berasaskan fakta kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan media memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman rakyat terhadap pelbagai isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian, termasuk aspek keselamatan kenderaan dan keselamatan jalan raya.

Malam Wartawan Malaysia merupakan acara tahunan anjuran MPI yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara bagi mengiktiraf kecemerlangan hasil kewartawanan serta menghargai sumbangan wartawan dan organisasi media kepada pembangunan negara.

BBerkaitan

Latest articles