KUALA LANGAT: Bapa kepada pelajar lelaki berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting hari ini mendakwa anaknya mengalami antara 14 hingga 16 kesan tikaman di bahagian belakang badan, selain cedera pada muka, bibir dan telinga.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau menerima panggilan daripada guru kelas anaknya sekitar jam 9.30 pagi ketika sedang bekerja sebagai penghantar barang yang memaklumkan anaknya ditikam di kawasan sekolah.
“Saya terus terkejut apabila menerima panggilan itu dan bergegas ke Hospital Banting. Apabila sampai, keadaan anak saya ketika itu agak serius sebelum dia dibawa menjalani imbasan untuk mengenal pasti tahap kecederaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.
Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih mampu bercakap dengan ahli keluarga.
Beliau berkata doktor memaklumkan paru-paru kiri anaknya turut terkena tikaman dan mangsa dijadual menjalani prosedur mengeluarkan darah yang terkumpul di paru-paru akibat kecederaan tersebut.
“Berdasarkan apa yang saya lihat, terdapat kira-kira 14 hingga 16 kesan tikaman di bahagian belakang badan, selain kecederaan pada muka, bibir dan telinga,” katanya.
Mengulas mengenai suspek, Mohd Firuz berkata anaknya mengenali individu terbabit kerana mereka pernah berada dalam kelas yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui motif sebenar kejadian atau status suspek di sekolah berkenaan.
“Saya difahamkan mereka pernah sekelas sebelum ini, tetapi saya tidak pasti apa punca kejadian. Pada pandangan saya, mungkin anak saya bukan sasaran sebenar. Berkemungkinan suspek mahu menyerang orang lain, namun anak saya berada paling hampir ketika itu dan berbadan lebih besar, menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan anaknya tidak pernah mengadu diganggu atau mempunyai sebarang masalah dengan suspek sebelum ini, yang difahamkan masih merupakan pelajar di sekolah berkenaan.
Susulan insiden itu, Mohd Firuz berharap aspek keselamatan di sekolah diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Pada saya, kawalan keselamatan di pintu masuk sekolah perlu diperketatkan. Setiap individu yang masuk ke kawasan sekolah sepatutnya ditapis terlebih dahulu supaya persekitaran sekolah lebih selamat,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.
Polis mengesahkan seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta menggerakkan pasukan kaunselor bagi memberi sokongan psikososial kepada warga sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.










