KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan Bumiputera perlu digerakkan secara menyeluruh oleh semua agensi kerajaan, kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan bukannya hanya dipikul oleh institusi yang diwujudkan khusus untuk golongan itu.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan ketika ini tidak berhasrat menubuhkan agensi Bumiputera baharu, sebaliknya memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh institusi sedia ada supaya lebih berkesan melaksanakan agenda pembangunan Bumiputera.
Menurut beliau, kejayaan program pembangunan Bumiputera bergantung kepada penyelarasan yang baik antara semua pihak, selain mengelakkan pelaksanaan secara berasingan atau bertindih sehingga menjejaskan keberkesanan inisiatif.
“Saya tidak cenderung menubuhkan agensi Bumiputera baharu. Sebaliknya, saya mahu memastikan agensi sedia ada diperkasa dan segala program kementerian, jabatan serta agensi lain diselaraskan supaya saling melengkapi,” katanya ketika berucap merasmikan SParK 2026: Transformasi Niaga, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa baru-baru ini kerajaan telah menghimpunkan pengurusan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat milik kerajaan bagi memperkukuh komitmen terhadap agenda pembangunan Bumiputera.
Antara yang terlibat termasuk institusi khusus seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain syarikat besar seperti Maybank dan PETRONAS.
Menurut Anwar, semua organisasi berkenaan perlu memainkan peranan aktif kerana pembangunan Bumiputera bukan lagi tanggungjawab eksklusif agensi tertentu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan negara yang perlu didukung secara bersama.










