JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan dokumen milik Kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan Singapura sebelum ia dilancarkan.
Beliau berkata, semua proses libat urus serta maklum balas daripada Singapura telah pun diselesaikan, manakala yang berbaki hanyalah pelancaran rasmi oleh Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan atau pada majlis yang akan diputuskan Putrajaya.
Menurut Onn Hafiz, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi gambaran seolah-olah pelan induk itu masih perlu menunggu persetujuan pada mesyuarat Leaders’ Retreat serta tandatangan kedua-dua perdana menteri adalah tidak tepat.
“Dalam konteks pelan induk, proses itu telah selesai. Mengaitkannya dengan keperluan menunggu tandatangan kedua-dua pemimpin hanya mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan kenyataannya bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai usaha memastikan pelaksanaan JS-SEZ berjalan mengikut jadual demi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap projek strategik berkenaan.
Kenyataan itu hadir sehari selepas Anwar menegur Onn Hafiz kerana menjadikan isu JS-SEZ sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, malah menyifatkan tindakan tersebut sebagai “tidak cerdik”.
Perdana Menteri berkata, beberapa dokumen berkaitan JS-SEZ masih memerlukan pemeteraian di peringkat perdana menteri Malaysia dan Singapura, bukannya melibatkan menteri besar.
Anwar turut menegaskan bahawa projek kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor itu sedang dilaksanakan dengan peruntukan besar serta mendapat sokongan penuh daripada Putrajaya.
JS-SEZ merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan utama antara Malaysia dan Singapura yang bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke Johor.
Pada 1 Julai lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini selepas dokumen berkenaan siap disediakan.
Menurut beliau, fokus kerajaan kini adalah melaksanakan komitmen pelaburan yang telah diumumkan bagi memastikan zon ekonomi khas itu dapat beroperasi seperti dirancang.
Sehari kemudian, Onn Hafiz mendakwa pelancaran pelan induk tersebut telah beberapa kali ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan, walaupun sebelum ini ia disasarkan diumumkan pada penghujung 2025 sebelum dijadualkan semula pada 30 Mac tahun ini.










