KUALA LUMPUR: Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mengingatkan bahawa sebarang dakwaan atau kontroversi membabitkan seseorang individu tidak wajar dijadikan asas untuk menghukum tanpa melalui proses sewajarnya serta keputusan institusi yang berautoriti.
Mengulas pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), beliau berkata penilaian perlu dibuat dengan membezakan aspek kesahan pelantikan di sisi undang-undang dan persepsi awam terhadap institusi integriti negara.
Menurutnya, berdasarkan penjelasan NFCC, Azam dilantik atas kapasiti individu bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822).
Jais berkata, negara juga perlu memperkukuh mekanisme pelantikan ke badan berkaitan integriti melalui kriteria yang jelas, proses tapisan telus dan komunikasi awam yang lebih berkesan bagi mengelakkan keraguan terhadap institusi yang memerangi rasuah serta jenayah kewangan.
Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai justifikasi pelantikan Azam susulan beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengannya.
Dalam masa sama, MCW menghormati hak Ahli Parlimen untuk membangkitkan isu berkaitan pelantikan institusi penting sebagai sebahagian daripada amalan semak dan imbang, namun menggesa semua pihak memastikan perbahasan dibuat secara profesional dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.










