“Dilantik Agong, Bukan SPRM” – Azam Baki Jawab Tohmahan Lantikan NFCC

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pelantikannya sebagai penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) adalah dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan kerana jawatannya dalam agensi berkenaan.

Beliau berkata, pelantikan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Akta NFCC serta berpaksikan pengalaman lebih 37 tahun dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bukan kerana jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana pengalaman saya dalam penguatkuasaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Kenyataan itu susulan persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mempersoalkan kewajaran pelantikan Azam sebagai penasihat NFCC ketika sidang media di Parlimen, semalam.

Turut dilapor sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan turut menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung pelantikan tersebut.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan beliau pertama kali dilantik ke NFCC pada Mac 2021 hingga Mac 2024 sebelum disambung semula bagi tempoh September 2024 hingga September 2027.

“Sesiapa yang mempertikaikan pelantikan ini sepatutnya mendapatkan fakta daripada NFCC atau bertanya terus kepada saya terlebih dahulu,” katanya.

Beliau turut menegaskan pelantikan itu dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam kenyataan berasingan mengesahkan pelantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat bagi tempoh 2024 hingga 2027 adalah atas kapasiti individu dan tidak berkait dengan jawatan beliau di SPRM.

Menurutnya, keanggotaan tersebut kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menjelaskan kehadiran Azam dalam mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah sah mengikut Akta 822 kerana beliau merupakan anggota lembaga tersebut.

BBerkaitan

Latest articles