PRN Johor: PH Sasar Jadi ‘Shenzhen Asia Tenggara’, 250,000 Pekerjaan Baharu

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai dengan visi besar menjadikan negeri itu sebagai ‘Shenzhen Asia Tenggara’ melalui pelbagai inisiatif ekonomi, sosial dan pembangunan rakyat.

Antara teras utama manifesto ialah usaha membawa pulang 20,000 tenaga profesional yang kini bekerja di Singapura menjelang 2031 melalui insentif pekerjaan dan keusahawanan, selain memperkukuh Johor sebagai hab ekonomi serantau.

Dalam aspek kebajikan, PH menawarkan perlindungan insurans kesihatan awam sehingga RM100,000 kepada 500,000 rakyat Johor melibatkan golongan B40, M40 dan OKU. Gabungan itu turut berjanji memberi RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda bagi bayaran pendahuluan rumah pertama, selain membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Bagi menyokong keluarga muda, PH turut mencadangkan bonus RM1,000 untuk setiap kelahiran bayi, penubuhan 250 pusat jagaan kanak-kanak Madani, serta pas pengangkutan awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU.

Rangkaian bas pengantara RTS Link di Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang juga akan diperkenalkan bagi manfaat lebih 300,000 pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Dari sudut ekonomi dan pendidikan, RM500 juta diperuntukkan untuk pembangunan belia termasuk program TVET premium, latihan AI, tuisyen percuma serta inisiatif keusahawanan yang dijangka memberi manfaat kepada 200,000 golongan muda.

Selain itu, RM1 bilion disediakan bagi pembiayaan PKS untuk memperkasa perniagaan tempatan, pendigitalan dan perluasan eksport ke ASEAN.

PH turut menyasarkan pewujudan 250,000 pekerjaan berpendapatan tinggi serta peningkatan pendapatan median rakyat Johor sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun melalui fokus kepada industri bernilai tinggi seperti pembuatan, logistik pintar, ekonomi kreatif, minyak dan gas, pelancongan serta pertanian moden.

Calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata manifesto tersebut adalah pelan yang realistik dan boleh dilaksanakan, dengan penekanan kepada konsep “Johor untuk semua”.

“Johor bukan untuk kroni, tetapi untuk kemakmuran bersama dan masa depan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles