PH Perlu Ada Calon MB ‘Same Level’ Sebelum Ajak Onn Hafiz Berdebat

PARIT BESAR: Pakatan Harapan (PH) digesa untuk mengemukakan calon Menteri Besar Johor yang setaraf sekiranya mahu mencabar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan sesi debat secara terbuka.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan PH yang mendesak Onn Hafiz berdebat seolah-olah tidak wajar kerana mereka sendiri masih gagal menamakan bayangan calon Menteri Besar sekiranya mendapat mandat penuh daripada pucuk pimpinan parti.

“Kalau nak debat, perlulah melibatkan tahap yang sama (same level). Macam di Amerika Syarikat, debat adalah antara calon Presiden Demokrat dan Republikan.

“Sekarang Onn Hafiz tanya, siapa calon MB daripada kamu? Bagilah bayangan sikit. Walaupun ada alasan tidak mahu mendahului pihak istana, tetapi sekurang-kurangnya nyatakan harapan parti kepada rakyat sekiranya menang. Itu pun mereka tidak boleh buat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Lunch Hour With KJ vs NS’ bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri di Parit Besar, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan penglibatan mantan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal atau Dr Maszlee Malik, Khairy secara sinis menyatakan tiada pengesahan rasmi berhubung sokongan penuh terhadap nama-nama berkenaan.

“Kita sendiri tidak tahu. Maszlee pun kita tidak tahu sama ada beliau mendapat endorsement (pengesahan) daripada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau tidak untuk jadi Menteri Besar. Dia sendiri sahaja yang ingat dia boleh jadi Menteri Besar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy menyifatkan strategi berterusan PH yang menjadikan Onn Hafiz sebagai sasaran utama serangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan memakan diri (backfire).

Jelas beliau, serangan bertali arus itu membuktikan pembangkang melihat Onn Hafiz sebagai ancaman terbesar serta aset paling berharga buat BN dalam menerajui Johor.

“Saya melihat daripada sudut positif. Bila Onn Hafiz diserang, maknanya beliau adalah satu ancaman kepada pihak lawan. Kalau tidak, sudah tentu orang tidak akan peduli.

“PH membuat analisis SWOT (Strengths, Weaknesses, Opportunities, Threats) dan mereka rasa untuk memberi kesan besar dalam kempen, mereka perlu serang aset terbesar BN iaitu MB.

“Bagaimanapun, kalau hari-hari nak serang MB, rakyat pun akan persoal apa cacat cela Onn Hafiz? Sepanjang empat tahun ini, beliau mentadbir dengan baik, mempunyai perancangan jelas serta wawasan yang berkesan untuk masa depan Johor. Tiada kesilapan besar yang dilakukan,” katanya.

Tambah Khairy, sikap taksub pembangkang yang terlalu memfokuskan serangan peribadi terhadap Menteri Besar akhirnya akan menimbulkan rasa jelik dalam kalangan pengundi Johor yang mahukan kestabilan politik.

BBerkaitan

Latest articles