JOHOR BAHRU: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbau semula tempoh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika pandemik Covid-19 dengan mendakwa bantuan kepada rakyat pada waktu itu dapat disalurkan dalam masa yang singkat hasil sistem penyampaian yang cekap.
Menurut beliau, pengalaman memimpin negara ketika krisis tersebut membuktikan kerajaan PN mempunyai mekanisme pengurusan yang berkesan sehingga bantuan kewangan boleh dikreditkan terus ke akaun penerima tanpa rakyat perlu menunggu terlalu lama.
Katanya, walaupun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketika negara berada dalam situasi paling mencabar akibat penularan wabak Covid-19, beliau tetap memikul tanggungjawab itu sepenuh hati demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Masih ingat zaman Covid? Ketika itu Allah menetapkan saya menjadi Perdana Menteri. Saya memimpin negara dalam keadaan dunia dilanda wabak yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam keadaan yang begitu sukar, saya berusaha siang dan malam memikirkan bagaimana negara dapat diselamatkan, rakyat tidak mati kerana penyakit dan tidak ada keluarga yang terputus bekalan makanan,” katanya ketika berucap pada program Sembang Santai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jayor, Bukit Kepong, semalam.
Turut hadir ialah calon PN bagi DUN Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Bersatu dan PN Johor.
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyentuh pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri dengan membandingkannya bersama bantuan yang pernah diperkenalkan semasa beliau menerajui kerajaan Persekutuan.
Beliau mendakwa bantuan BKJ yang diumumkan kerajaan negeri ketika ini jauh lebih kecil, selain proses penyalurannya mengambil masa lebih lama berbanding ketika PN mentadbir negara.
“Ada yang kata Johor sekarang sudah baik sebab Menteri Besar beri BKJ. Banyak mana? RM200 sahaja.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, setiap kali saya membuat pengumuman, rakyat menunggu di hadapan televisyen untuk mengetahui bantuan yang akan diberikan.
“Bukan tunggu berbulan-bulan. Dalam tempoh kira-kira seminggu sahaja, rakyat sudah boleh melihat wang RM2,000 atau RM3,000 dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya.
Menurut Muhyiddin, perkara itu dapat dilaksanakan kerana kerajaan ketika itu mempunyai sistem pentadbiran dan penyampaian bantuan yang tersusun, sekali gus memastikan bantuan sampai kepada rakyat dengan pantas.
Beliau berkata, kerajaan PN telah membelanjakan puluhan bilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai pakej bantuan sepanjang pandemik, namun proses penyalurannya tidak berdepan kelewatan kerana sistem yang digunakan membolehkan pembayaran dibuat secara terus kepada penerima.
Untuk rekod, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 ketika negara sedang berdepan penularan Covid-19.
Sepanjang pentadbirannya, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan serta bantuan merangkumi sektor kesihatan, ekonomi dan sosial bagi membantu rakyat serta perniagaan mengharungi kesan pandemik dan kelembapan ekonomi global.










