Mayat Wanita Ditemui Dalam Bagasi Selepas Pemilik Rumah Terhidu Bau Busuk

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik rumah sewa di Taman Impian Indah, Kajang, tidak menyangka rasa curiganya selepas gagal menghubungi penyewa membawa kepada penemuan mayat seorang wanita yang disorokkan di dalam sebuah bagasi di ruang tamu kediaman itu.

Pemilik rumah yang enggan dikenali berkata, dia beberapa kali cuba menghubungi penyewa wanita berkenaan namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum membuat keputusan untuk datang memeriksa rumah yang disewa mereka pada petang semalam.

Menurutnya, sebaik memasuki rumah berkenaan, dia dihidu bau busuk yang kuat selain mendapati keadaan rumah amat kotor.

“Saya percaya mayat itu adalah penyewa wanita warga Nepal yang mula menyewa rumah itu kira-kira tiga bulan lalu bersama seorang lelaki,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebuah kotak kadbod besar di sudut ruang tamu yang dipenuhi pakaian dan fabrik, selain terdapat kesan kumbahan yang bocor daripada kotak berkenaan.

Apabila menghampiri kotak itu, dia menemui sebuah bagasi di dalamnya dan cuba menarik keluar untuk melihat kandungannya, namun bagasi tersebut terlalu berat.

“Saya dapati bagasi itu kembung dan zipnya sukar dibuka. Disebabkan takut, saya terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa dokumen pengenalan diri di sebuah rumah di Taman Impian Indah pada kira-kira jam 8.37 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan polis bersama unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi sebelum menemui mayat wanita itu di dalam sebuah bagasi yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles