Sokong BN Di Kerusi Tertentu Bukan Bererti Tolak Calon PN

KUALA LUMPUR: Arahan pemimpin tertinggi PAS supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) bukan bermaksud mereka boleh mengetepikan calon gabungan itu di kawasan lain.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ahli dan penyokong parti perlu terus memberikan sokongan kepada semua calon PN di kerusi yang ditandingi gabungan itu, termasuk calon daripada Bersatu.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, gagal memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Di kerusi PN bertanding, wajib undi calon PN. Penyokong PN perlu menyokong calon PN walaupun daripada parti rakan seperti Bersatu.

“Yang penting jangan beri kemenangan kepada PH. Jika dibandingkan antara Bersatu dan PH, PH adalah musuh yang lebih besar. Bersatu masih boleh diterima walaupun hubungan kerjasama politik sudah dihentikan,” katanya selepas menghadiri Ceramah Pentas Anak Muda dan Himpunan Jentera Pemuda di Simpang Jeram, malam tadi.

Beliau mengulas arahan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang meminta ahli serta penyokong PAS mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Afnan menegaskan arahan itu hanya terpakai di kawasan tertentu dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai isyarat untuk tidak menyokong calon PN di kerusi lain.

Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu.

Bagaimanapun, kedua-dua parti masih kekal berada dalam gabungan PN dan menggunakan lambang yang sama pada PRN Johor, meskipun PAS sebelum ini memaklumkan tidak akan membantu kempen calon Bersatu sepanjang pilihan raya negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles