KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mengelakkan serangan politik sesama sendiri sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun kedua-dua gabungan itu bertembung di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan tersebut dipersetujui oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan mengambil kira kepentingan kerjasama di peringkat nasional.
Menurut beliau, setiap parti akan memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon masing-masing serta menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya menyerang rakan dalam kerajaan.
“Walaupun kita berkawan dan pada masa sama bersaing dalam gelanggang yang sama di Johor, persefahaman telah dicapai supaya tiada serangan terhadap satu sama lain.
“Kita perlu melihat gambaran lebih besar di peringkat nasional. Perkara ini difahami sepenuhnya oleh kepimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui di Benut.
Beliau turut menyeru semua pihak menjalankan kempen secara matang, berhemah dan penuh kesantunan bagi memastikan suasana pilihan raya kekal harmoni.
Dalam perkembangan sama, Zahid menegaskan BN tidak menjalin kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti lain di Johor apabila membuat keputusan bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN.
Katanya, keputusan meletakkan calon di setiap kerusi membuktikan BN kekal menggunakan lambangnya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.
“Saya tidak mendengar mengenai dakwaan itu. Mungkin ada perbincangan di peringkat bawahan, namun sejak awal Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan hasrat BN bergerak secara solo dan ia dibuktikan apabila kita bertanding di semua 56 kerusi.
“Tiada seorang pun calon BN menggunakan lambang parti lain. Jika ada perbincangan di peringkat tertentu, itu perkara biasa dalam politik kerana pelbagai kemungkinan sering dibincangkan,” katanya.










