Senarai 56 Calon BN Johor Tepis Desas-desus Kerjasama PAS, Wawasan

JOHOR BAHRU: Spekulasi kononnya Barisan Nasional (BN) bakal membuka ruang kerjasama dengan PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ternyata tidak menjadi kenyataan apabila senarai calon yang diumumkan hanya membabitkan parti-parti komponen gabungan itu.

Pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sekali gus menamatkan pelbagai khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu mengenai kemungkinan beberapa calon daripada parti luar diberi laluan bertanding menggunakan tiket BN.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa empat pemimpin Wawasan yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin serta seorang wakil PAS pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang bakal disenaraikan sebagai calon ‘tumpang’ di bawah panji BN bagi menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun, senarai rasmi yang diumumkan di Pejabat Perhubungan UMNO Johor tidak menunjukkan sebarang penyertaan calon daripada kedua-dua parti tersebut.

Malah, pengumuman itu turut menepis spekulasi bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim, akan dibawa masuk sebagai calon khas BN bagi pilihan raya kali ini.

Dalam majlis berkenaan, BN mengumumkan seramai 56 calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu, dengan kesemua mereka terdiri daripada parti komponen BN iaitu UMNO, MCA dan MIC.

BBerkaitan

Latest articles