JOHOR BAHRU — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Johor petang ini.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Onn Hafiz pada Majlis Pengumuman Calon BN Johor yang turut mengesahkan pendirian gabungan itu untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz berkata BN Johor berdepan pelbagai tekanan dan serangan sejak mengambil keputusan untuk bertanding secara bersendirian tanpa menjalin kerjasama dengan parti lain.
Menurut beliau, pendirian tersebut telah mengundang pelbagai tuduhan termasuk dilabel sebagai sombong, angkuh dan rasis oleh pihak tertentu.
“Kerana kita tidak bekerjasama dengan mana-mana parti seperti DAP, kita dituduh sombong, angkuh malah rasis hanya kerana pendirian politik kita berbeza.
“Tidak bekerjasama dengan DAP bukan bermaksud kita menolak mana-mana kaum kerana mereka hanyalah sebuah parti politik. Penolakan itu adalah kerana perbezaan pendekatan dan ideologi, bukannya kerana perkauman,” katanya.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa sekiranya BN diberikan mandat untuk terus mentadbir Johor, gabungan itu tidak akan membentuk kerajaan bersama mana-mana parti politik lain di negeri berkenaan.
“Sekiranya diizinkan Allah dan rakyat terus memberikan kepercayaan kepada BN Johor, BN Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik yang lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata pencalonan yang diberikan kepada setiap calon bukanlah satu bentuk ganjaran atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Pada masa sama, beliau menyeru semua anggota parti termasuk mereka yang tidak terpilih sebagai calon agar terus bersama-sama memperkukuhkan jentera parti sepanjang kempen pilihan raya.
“Kepada mereka yang tidak terpilih sebagai calon, saya merayu agar terus bersama-sama dalam perjuangan ini. Perjuangan kita lebih besar daripada mana-mana individu mahupun jawatan.
“Yang bertanding mungkin seorang calon, tetapi yang mesti menang ialah kita semua, seluruh pasukan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Johor menilai BN berdasarkan rekod pencapaian serta perancangan masa depan yang dibawa menerusi agenda Maju Johor 2030.
PRN Johor ke-16 akan berlangsung selepas Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.










