KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkukuh serta memulihkan ekonomi negara susulan ketidaktentuan global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat menerusi Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-149 yang berlangsung di Bangunan Parlimen hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu turut meneliti tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan kepada pelbagai sektor penting termasuk bekalan air, pertanian dan keselamatan makanan.
Menurut beliau, fenomena tersebut juga berpotensi meningkatkan risiko cuaca panas melampau serta jerebu yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan aktiviti ekonomi negara.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menjelaskan bahawa perbincangan turut memberi penekanan kepada pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan secara lebih bersepadu, cekap dan berorientasikan kepentingan rakyat.
Langkah itu penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam menarik pelaburan berkualiti serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat, di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai strategi bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa yang berpunca daripada ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang memberi impak langsung kepada ekonomi global dan rantaian bekalan antarabangsa.
Anwar turut menegaskan bahawa semangat kerjasama dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dalam mesyuarat itu akan terus diperkukuhkan bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, hubungan erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di seluruh negara tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan platform utama penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menangani isu-isu strategik negara serta memastikan pelaksanaan agenda pembangunan berjalan lancar dan berkesan.










