Selepas Sertai PN, Pejuang Seru Penyatuan Demi Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) melihat penyertaannya dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan politik Melayu dan Islam bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sedang melanda negara.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, negara kini memerlukan sebuah gabungan yang mampu menawarkan kepimpinan lebih kukuh dan berwibawa bagi menangani isu ekonomi, sosial serta keselamatan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, keputusan menyertai PN dibuat berasaskan keyakinan bahawa usaha menyatukan kekuatan umat dan memperkukuh kestabilan politik perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan parti atau individu tertentu.

“Pejuang berpendirian bahawa kepentingan agama, bangsa dan negara mesti sentiasa mengatasi kepentingan kepimpinan parti mahupun individu.

“Perbezaan pandangan yang wujud tidak seharusnya menghalang pembentukan satu barisan perjuangan yang lebih besar demi memastikan masa depan negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mukhriz turut berharap kemasukan Pejuang ke dalam PN menjadi titik permulaan kepada usaha lebih menyeluruh dalam menyatukan kekuatan politik umat Islam dan Melayu, sekali gus mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih stabil, aman dan makmur.

Beliau menegaskan bahawa Pejuang akan terus mempertahankan prinsip integriti, keadilan serta tadbir urus yang baik, selain komited memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa berkompromi dengan nilai-nilai yang diperjuangkan parti itu sejak penubuhannya.

Malam tadi, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Pejuang dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) diterima secara rasmi sebagai parti komponen gabungan tersebut.

Katanya, keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang turut dihadiri kepimpinan PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Cinta Malaysia yang sebelum ini permohonannya diterima untuk menyertai PN telah dijenamakan semula sebagai Wawasan selepas diambil alih oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama kumpulan penyokongnya.

Pejuang pula ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau dan beberapa penyokongnya disingkirkan daripada Bersatu.

Kini, parti itu dipimpin oleh anak beliau, Mukhriz yang menerajui hala tuju baharu Pejuang dalam arena politik negara.

BBerkaitan

Latest articles