BN, PN Perlu Jalin ‘Electoral Pact’ Demi Kestabilan Politik Pasca PRU16

​KUALA LUMPUR: Parti-parti politik dalam blok pembangkang dan komponen utama negara disaran mewujudkan satu kesefahaman politik atau electoral pact bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

​Langkah strategik itu disifatkan penting bagi memastikan tiada perpecahan undi berlaku, sekali gus mampu membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil dan dominan.

​Ketua Penerangan Parti Warisan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, formula muafakat berkenaan memerlukan pengorbanan besar daripada semua parti terlibat, khususnya PAS, demi mencapai kemenangan yang selesa.

​”Kita perlu mencapai satu muafakat dan sudah pasti ia menuntut pengorbanan, khususnya daripada PAS. Saya percaya PAS bersedia untuk bertolak ansur dalam perkara ini, termasuklah dari segi pembahagian kerusi serta perkongsian sumber dan jentera.

​”Langkah ini bagi memastikan parti-parti yang mempunyai kekuatan di kawasan masing-masing tidak berpecah, sekali gus mengekalkan momentum kemenangan,” katanya dalam sesi podcast yang dimuat naik di Facebook Parti Wawasan Negara Selangor, hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai senario politik semasa, beliau menegaskan sekiranya pertembungan tiga penjuru kembali berlaku antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Pakatan Harapan (PH), landskap politik negara dikhuatiri akan kembali ke takuk lama yang tidak stabil.

​”Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, sudah tentu kita akan kembali ke titik permulaan (back to square one) seperti mana situasi hari ini yang tidak stabil.

​”Namun, sekiranya kita mempunyai satu kesefahaman politik (electoral pact) antara BN dan PN, saya yakin kita mampu membentuk satu majoriti yang selesa, khususnya di peringkat Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

​Selain Semenanjung, formula kerjasama itu juga dilihat mampu memberi impak positif di Sabah memandangkan kedua-dua blok tersebut mempunyai pengaruh dan jentera yang kukuh di negeri bawah bayu itu.

​Beliau menyifatkan electoral pact berkenaan sebagai satu ‘lonjakan baharu’ yang mampu mengubah corak serta dinamika politik tanah air menjelang PRU16.

BBerkaitan

Latest articles