BUTTERWORTH: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sempena Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Julai depan di PICCA Convention Centre @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Program tahunan terbesar gerakan koperasi negara itu akan dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 4 Julai, manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong turut dijadual menghadiri majlis berkenaan sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Mengangkat tema “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, penganjuran HKN’26 dijangka menjadi platform utama yang menghimpunkan pelbagai peluang ekonomi, pendidikan, pekerjaan, teknologi dan pembangunan komuniti di bawah satu bumbung.
Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata HKN’26 tampil dengan skala lebih besar menerusi penyertaan 150 reruai pameran dan jualan yang melibatkan pelbagai sektor termasuk keusahawanan, pelancongan, pendidikan, teknologi, makanan serta perkhidmatan awam.
“HKN’26 bukan sekadar pameran koperasi. Kami membawakan sebuah festival rakyat yang menghimpunkan makanan tradisional, pakej pelancongan menarik, aktiviti keluarga, peluang perniagaan, peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan pengiktirafan kepada koperasi terbaik negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pra Peluncuran HKN’26 di Dewan Perdana, Bangunan SKM, hari ini.
Antara tarikan utama ialah Pavilion KUSKOP yang menghimpunkan sembilan agensi di bawah kementerian itu, selain Pavilion SKM yang menyediakan khidmat nasihat berkaitan koperasi serta maklumat mengenai geran dan pembiayaan.
Turut mengambil bahagian ialah 20 reruai koperasi pelancongan, 10 reruai D’Dapur Coop, lapan reruai francais, lapan reruai MYFutureJobs, empat reruai Jualan MADANI Koperasi, tiga reruai Jom Masuk Universiti, dua reruai TVET dan kecerdasan buatan (AI) serta 10 trak makanan.
Salah satu tarikan yang dijangka mendapat sambutan ramai ialah Jualan MADANI Koperasi (JMK), yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Melalui empat reruai khas yang disediakan, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk seperti beras, minyak masak, telur, gula, ayam, daging, susu dan sayur-sayuran dengan penjimatan sehingga 40 peratus.
Selain itu, produk keluaran koperasi dan usahawan tempatan turut dijual secara terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Jelas Ahmad Norihan lagi, bagi memeriahkan lagi acara, HKN’26 memperkenalkan Festival Warisan Laksa yang menghimpunkan pelbagai variasi laksa dari seluruh negara.
Pengunjung berpeluang menikmati hidangan popular seperti Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Kedah, Laksa Sarawak, Laksa Kelantan dan Laksa Perlis dalam satu lokasi, sekali gus mempromosikan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia kepada masyarakat.
Dalam usaha membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, sebanyak 20 reruai koperasi pelancongan akan menawarkan pakej istimewa termasuk umrah dan ziarah, percutian domestik, eko-pelancongan, homestay komuniti serta pelancongan pendidikan.
Pada masa sama, pelajar dan pencari kerja boleh mendapatkan maklumat mengenai kemasukan ke universiti, program TVET, teknologi AI serta peluang pekerjaan menerusi penyertaan MYFutureJobs dan pelbagai institusi pendidikan.
HKN’26 direka dengan pendekatan lebih inklusif dan mesra rakyat bagi menonjolkan peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi komuniti.
Menurut Ahmad Norihan lagi, sambutan kali ini bukan sekadar pameran koperasi, sebaliknya sebuah festival rakyat yang menawarkan pelbagai peluang perniagaan, pendidikan, pekerjaan dan aktiviti keluarga.
Tambahnya, dua anugerah khas baharu turut diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti bagi memberi pengiktirafan kepada koperasi yang sedang berkembang serta berpotensi menjadi peneraju dalam sektor masing-masing.
HKN’26 dijangka menjadi platform terbesar gerakan koperasi negara dengan lebih 100 aktiviti sepanjang tiga hari penganjuran serta penyertaan kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan, koperasi dan usahawan dari seluruh negara.
Penganjuran tersebut selari dengan aspirasi Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030) yang meletakkan koperasi sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi inklusif dan mampan.
Dengan lebih 7.3 juta anggota koperasi di seluruh negara, sektor itu terus memainkan peranan penting dalam memperluaskan peluang keusahawanan, merancakkan perdagangan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan negara.










