SHAH ALAM: Wanita yang dikaitkan dengan kontroversi tular ketika bercuti di China akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok pada Sabtu.
Nur Asyiqin Mohd Dalil mengakui kesilapannya dan berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya yang mencetuskan pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai, termasuk warga China.
Menurutnya, permohonan maaf itu dibuat dengan penuh keikhlasan susulan insiden yang berlaku pada 15 Jun lalu, yang disifatkannya sebagai satu reaksi spontan tanpa sebarang niat untuk menghina atau menimbulkan konflik.
“Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan reaksi spontan saya ketika berada di China. Saya memahami dan menerima sepenuhnya tanggungjawab atas tindakan yang telah menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
“Saya menghormati setiap pandangan, teguran dan perasaan semua pihak. Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung atau mengaibkan sesiapa kerana apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang dirancang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa segala kritikan yang diterima akan dijadikan pengajaran berharga untuk dirinya pada masa akan datang.
Katanya, insiden tersebut membuka matanya mengenai kepentingan menjaga sensitiviti masyarakat serta lebih berhati-hati dalam setiap tindakan, terutama ketika berada di luar negara.
“Saya menyesali perbuatan itu dan menginsafi tindakan saya yang keterlaluan. Pengalaman ini akan menjadi iktibar untuk saya menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nur Asyiqin berharap permohonan maaf yang dibuat dapat meredakan keadaan serta menyelesaikan isu yang tercetus dengan baik.
Kontroversi itu sebelum ini tercetus selepas tular sebuah video memaparkan beberapa rakyat Malaysia dipercayai mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan seperti “busuk” dan “tak mandi” ketika berada di kawasan awam di China.
Malah, individu dalam rakaman tersebut turut dilihat menutup hidung secara sengaja, tindakan yang mengundang kecaman hebat daripada pengguna media sosial di Malaysia dan China.
Video berkenaan kemudian mendapat perhatian meluas di platform media sosial negara itu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus menjejaskan imej rakyat Malaysia di mata sebahagian netizen China.










