KUALA LUMPUR: PAS mempertahankan keputusan menggugurkan dua pemimpin kanan Bersatu daripada jawatan penting dalam Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan tindakan itu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan gabungan tersebut dan bukannya atas dasar ‘kuku besi’ seperti didakwa.
Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Samad berkata, keputusan yang dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung penamatan khidmat Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3 perlembagaan PN.
Menurutnya, tuduhan bahawa Samsuri bertindak secara autoritarian tidak berasas kerana kuasa sama pernah digunakan oleh pengerusi terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pelantikan dalam gabungan itu.
“Kuku besi jika tidak ikut perlembagaan atau bertindak sesuka hati. Pengerusi sebelum ini juga menggunakan kuasa yang sama. Jadi kenapa perlu pertikaikan Samsuri?” katanya ketika mengulas kritikan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Rabu lalu, Samsuri mengumumkan rombakan pentadbiran PN yang menyaksikan Radzi ditamatkan khidmat sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, manakala Azmin digugurkan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung gabungan itu berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu dibuat ketika PN sedang memperkemaskan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam rombakan tersebut, tempat Radzi diambil alih oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, manakala kekosongan jawatan bendahari diisi Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Subramaniam Surunaryan.
Tun Faisal sebelum ini mendakwa tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi politik PAS untuk mengurangkan pengaruh Bersatu dalam struktur kepimpinan PN.
Beliau turut mendakwa pengguguran Radzi dan Azmin berpotensi mengubah keseimbangan kuasa dalam Majlis Tertinggi PN, sekali gus memberi kelebihan kepada PAS untuk menguasai keputusan sekiranya mendapat sokongan Gerakan.
Bagaimanapun, Iskandar menolak dakwaan itu dengan menegaskan PAS tidak menguasai Majlis Tertinggi PN seperti yang digembar-gemburkan.
“Tun Faisal sendiri hanya menyebut kemungkinan itu berlaku jika PAS mendapat sokongan Gerakan. Itu pun masih andaian. Jadi kenapa perlu bimbang?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang melabel PAS sebagai parti ‘kuku besi’ serta penggunaan istilah ‘Kluster Publika’, yang menurutnya boleh mencetuskan perpecahan dalam gabungan pembangkang.
Kemelut terbaru itu berlaku ketika hubungan PAS dan Bersatu terus tegang selepas kedua-dua parti menamatkan kerjasama politik mereka baru-baru ini, walaupun masih berada di bawah payung PN.
Ketegangan semakin memuncak apabila Muhyiddin menyatakan Bersatu bersedia berdepan PAS dalam pilihan raya akan datang, namun Naib Presiden PAS, Datuk Amar Abdullah mengingatkan bahawa Bersatu perlu terlebih dahulu keluar daripada PN jika benar-benar mahu mencabar parti itu.










