KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Ogos depan untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan pihak berkaitan daripada menguruskan aset luar pesisir bernilai kira-kira RM5.5 bilion yang ditempatkan di Jersey.
Keputusan tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin semasa pengurusan kes pada Khamis.
SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala Na’imah diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid. Na’imah tidak perlu hadir ke prosiding berkenaan.
Aset yang menjadi pertikaian melibatkan dana berjumlah AS$157.5 juta (RM667 juta) dan £85 juta (RM4.9 bilion) yang disimpan di wilayah tanggungan Mahkota British itu.
Menurut dokumen mahkamah, permohonan tersebut difailkan SPRM pada 25 Jun tahun lalu.
Suruhanjaya itu mendakwa aset berkenaan diperoleh oleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia, namun tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Permohonan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), susulan siasatan yang dijalankan di bawah undang-undang percukaian serta peruntukan pengubahan wang haram.
Kes itu merupakan permohonan ketiga SPRM membabitkan aset luar negara yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.
Sebelum ini, prosiding serupa melibatkan aset di United Kingdom dan Singapura. Pada 19 Jun tahun lalu, SPRM memohon perintah larangan terhadap Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu lain, lima syarikat serta pihak berkaitan melibatkan dana pelaburan bernilai kira-kira £21 juta (RM121 juta) dan AS$99 juta (RM423 juta) yang disimpan di Singapura.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Malaya pada 22 Mei lalu menolak permohonan tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Tinggi dijadualkan membuat keputusan pada 30 Jun ini berhubung permohonan Na’imah untuk membatalkan tindakan SPRM yang mahu membekukan beberapa hartanah komersial dan kediaman di London bernilai £132 juta.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu membuka lapan kertas siasatan selepas menerima maklumat baharu daripada agensi penguat kuasa luar negara berhubung aset yang dikaitkan dengan Daim, ahli keluarganya serta individu yang dipercayai bertindak sebagai proksi.
Menurut beliau, aset-aset yang sedang disiasat itu tidak pernah diisytiharkan dalam siasatan SPRM yang dijalankan pada tahun 2023.
Sementara itu, peguam yang mewakili Na’imah dan anak-anaknya sebelum ini menolak dakwaan bahawa beliau gagal dikesan ketika siasatan berkaitan dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
Firma guaman Raj & Sach menegaskan pihak mereka telah memberikan maklum balas bertulis kepada polis dan Na’imah sekeluarga sentiasa memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.










