KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang merangka pelan jangka panjang untuk menggantikan pesawat pengangkut C-130 Hercules yang telah berkhidmat selama beberapa dekad, susulan peningkatan keperluan operasi serta faktor usia aset yang semakin menua.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, keperluan itu menjadi semakin mendesak memandangkan pesawat C-130 Hercules tertua dalam armada TUDM kini berusia sekitar 50 tahun, manakala yang paling muda telah beroperasi selama 31 tahun.
Menurut beliau, walaupun pesawat tersebut masih terbukti berkeupayaan dan boleh diharap dalam pelbagai misi, kos penyelenggaraan yang semakin tinggi serta perkembangan teknologi semasa menuntut TUDM mempertimbangkan platform baharu yang lebih moden.
Katanya, pesawat generasi baharu menawarkan pelbagai kelebihan termasuk peningkatan dari segi kuasa enjin, kapasiti angkut, daya angkatan serta kecekapan operasi yang lebih sesuai dengan cabaran masa hadapan.
“Keperluan operasi TUDM akan terus berkembang dan menjadi lebih kompleks. Justeru, kita perlu memastikan aset yang dimiliki mampu memenuhi tuntutan tugas pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68, hari ini.
Ketika ini, TUDM mengoperasikan 10 buah pesawat C-130 Hercules yang terdiri daripada beberapa varian dan digunakan secara meluas dalam operasi logistik, bantuan kemanusiaan serta penugasan ketenteraan.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Norazlan memaklumkan TUDM turut menjalankan penilaian bagi menggantikan pesawat tempur pelbagai peranan yang dijangka berdepan isu keusangan menjelang 2035, selain mempertimbangkan penambahan aset pesawat tempur ringan.
Bagaimanapun, beliau berkata belum ada keputusan muktamad dibuat sama ada TUDM akan memilih pesawat tempur generasi 4.5, generasi kelima atau generasi keenam untuk menggantikan aset sedia ada.
Menurutnya, sebarang keputusan perolehan akan dibuat berdasarkan keperluan pertahanan negara yang menekankan konsep pertahanan dan keselamatan, bukannya keupayaan ofensif.
Sementara itu, TUDM kini berada pada tahap kesiapsiagaan hampir 90 peratus untuk menerima kumpulan pertama pesawat tempur ringan FA-50 yang bakal ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan.
Beliau berkata, kerja-kerja penyediaan kemudahan dan infrastruktur dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini bagi memastikan proses penerimaan aset baharu berjalan lancar.
Pada masa sama, enam juruterbang TUDM bersama kumpulan jurutera dan juruteknik sedang menjalani latihan intensif di Korea Selatan bagi mengendalikan pesawat FA-50.
“Kesemua latihan akan diselesaikan sebelum mereka pulang ke Malaysia supaya operasi penerbangan dapat dimulakan tanpa memerlukan latihan tambahan.
“Ketika ini mereka sedang menjalani latihan penerbangan di Pangkalan Udara Gwangju dan dua juruterbang pertama dijangka menamatkan latihan pada Oktober, manakala empat lagi akan selesai pada Disember,” katanya.










