KUALA LUMPUR: Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin memuncak apabila Bersatu mendakwa wujud percaturan politik yang bertujuan memperkukuhkan dominasi Pas dalam gabungan itu sehingga berpotensi menjejaskan kedudukan parti tersebut.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa tindakan menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama PN bukan sekadar perubahan struktur organisasi, sebaliknya mempunyai implikasi lebih besar terhadap keseimbangan kuasa dalam gabungan berkenaan.
Menurut beliau, beberapa perkembangan kebelakangan ini menunjukkan terdapat kelompok tertentu yang mahu memastikan Pas mempunyai pengaruh lebih besar dalam menentukan hala tuju PN.
Katanya, petunjuk ke arah itu telah beberapa kali muncul melalui kenyataan pemimpin dan anggota parti berkenaan, selain tindakan yang didakwa semakin mengecilkan peranan Bersatu dalam proses membuat keputusan.
Tun Faisal turut mendakwa terdapat usaha untuk mengawal pelbagai mekanisme penting gabungan termasuk urusan berkaitan watikah calon, selain memanfaatkan kelebihan dalam Majlis Tertinggi (MT) PN bagi menentukan keputusan yang memihak kepada pihak tertentu.
Beliau menyifatkan pendekatan tersebut sebagai politik kuasa yang semakin jelas kelihatan dalam PN.
“Kasar permainan politik Pas ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor Pas.
“Kalau bukan pendekatan ke‘Mullah’an dan ke‘Talibanan’, mungkin pegangan Machiavellian yang menghalalkan cara demi mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas kedudukan semasa dalam MT PN, Tun Faisal berkata Pas dan Bersatu masing-masing sebelum ini mempunyai enam undi, manakala Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) memiliki tiga undi setiap satu.
Beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, sokongan MIPP kepada Bersatu dan Gerakan kepada Pas akan menghasilkan keputusan seri sembilan lawan sembilan, sekali gus menjadikan undi pengerusi sebagai faktor penentu.
Namun, katanya, perubahan kedudukan selepas pengguguran Radzi dan Azmin telah mengubah keseimbangan tersebut apabila jumlah undi yang memihak kepada Pas meningkat kepada lapan, sementara Bersatu hanya mempunyai empat undi.
“Jika MIPP bersama Bersatu, jumlahnya hanya tujuh undi. Sebaliknya Pas bersama Gerakan boleh memperoleh 10 undi.
“Keadaan ini memberi kelebihan besar kepada Pas untuk menentukan apa sahaja keputusan yang mereka kehendaki kerana mereka percaya mempunyai sokongan mencukupi dalam MT,” dakwanya.
Walaupun melontarkan kritikan keras terhadap situasi itu, Tun Faisal menegaskan Bersatu tidak berhasrat meninggalkan PN dan akan terus mempertahankan kedudukan parti dalam gabungan tersebut.
Pada masa sama, beliau berharap pemimpin serta ahli Pas yang tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan dapat memainkan peranan bagi menghalang apa yang disifatkannya sebagai usaha melampau oleh kelompok tertentu dalam parti itu.










