Radzi Jidin-Azmin Diberhentikan, Sanusi ‘Take Over’ Ketua Pengarah Pilihan Raya PN

KUALA LUMPUR: Parti Perikatan Nasional (PN) malam ini mengumumkan rombakan kepimpinan tertinggi apabila Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin digugurkan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dilepaskan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung.

Jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN kini disandang oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Perubahan portfolio utama itu merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula pentadbiran PN yang berkuat kuasa serta-merta sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rombakan tersebut dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.

Susulan pelantikan Muhammad Sanusi ke jawatan baharu itu, kekosongan jawatan Bendahari PN kini diisi oleh Subramaniam Surunaryan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri berkata, pemberhentian Mohamed Azmin Ali daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung dibuat bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.

“Bagi memperkukuh organisasi parti susulan perubahan struktur ini, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles