Agong Titah Siasatan Menyeluruh Tragedi Letupan Bom

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian dua anggota tentera yang maut dalam insiden letupan bom ketika menjalani latihan ketenteraan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah pada hari ini.

Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang akibat tragedi berkenaan.

“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Baginda.

Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya siasatan menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Baginda pada masa sama menegaskan bahawa aspek keselamatan dalam setiap latihan dan operasi ketenteraan perlu sentiasa dipertingkat serta diberikan perhatian serius bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.

Terdahulu, dua anggota ATM dilaporkan terkorban selepas terkena letupan ketika menjalani latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart kira-kira pukul 10.57 pagi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar dari 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari 1 Skuadron RAJD. Kedua-duanya mengalami kecederaan parah akibat letupan tersebut sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

BBerkaitan

Latest articles