Penempatan Haram Rohingya Di Sungai Tekali Dirobohkan

HULU LANGAT: Penempatan haram yang didiami komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, yang mencetuskan perhatian ramai selepas tular di media sosial baru-baru ini, akhirnya dirobohkan dalam satu operasi yang dilaksanakan hari ini.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Menurut beliau, tindakan merobohkan struktur binaan berkenaan dilakukan oleh pemilik tanah sendiri bagi mengosongkan kawasan yang sebelum ini menempatkan beberapa bangunan yang didakwa dibina tanpa kebenaran.

Rakaman video berdurasi kira-kira seminit itu memperlihatkan beberapa jentera berat digunakan untuk meruntuhkan struktur yang terdapat di lokasi terbabit.

Antara yang paling ketara ialah sebuah bangunan dua tingkat yang mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian besar binaannya dirobohkan.

Turut kelihatan dalam rakaman berkenaan timbunan sisa runtuhan yang terdiri daripada konkrit, kepingan zink serta pelbagai bahan binaan lain yang memenuhi kawasan sekitar selepas operasi dijalankan.

Penempatan haram di Sungai Tekali itu sebelum ini menjadi perhatian umum susulan pendedahan mengenai kewujudan beberapa struktur kediaman yang dibina di kawasan berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dan pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles