Agong Perkenan Tarik Balik Darjah PSM Mohd Isa Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Gelaran Tan Sri yang disandang Datuk Mohd Isa Abdul Samad ditarik balik selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan semula Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang dikurniakan kepada beliau, berkuat kuasa 8 Jun lalu.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat susulan Mohd Isa disabitkan kesalahan jenayah dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia di bawah Perenggan XXV dan XXVIA yang memperuntukkan bahawa sesuatu darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerimanya disabitkan dengan kesalahan.

JPM berkata keputusan itu juga mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penarikan balik darjah kebesaran yang dizahirkan sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 7 September 2024.

Mohd Isa, 76, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan beliau serta mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Pengerusi FELDA itu atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Mahkamah ketika itu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, selain hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan sebelum keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles