KUALA LUMPUR: Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengecam tindakan PAS Seremban dan Negeri Sembilan yang didakwa menyokong pemasyhuran pelantikan Tunku Nadzaruddin sebagai YDPB Negeri Sembilan yang baharu.
Pengerusinya, Dato’ Sri Megat D Shariman Zaharudin berkata sekretariat berpendapat tindakan tersebut merupakan satu bentuk penafian terhadap kedudukan Tuanku Muhriz yang menurut mereka masih merupakan YDPB Negeri Sembilan yang sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Beliau turut mendakwa sokongan yang diberikan oleh PAS bercanggah dengan prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Menurutnya lagi, mana-mana usaha yang dianggap menidakkan kedudukan Raja yang sah boleh menjejaskan semangat kesetiaan terhadap institusi beraja.
“Sekretariat menegaskan bahawa sistem beraja Negeri Sembilan berasaskan Adat Perpatih yang mempunyai proses dan lunas tersendiri di bawah Undang Yang Empat serta tidak sepatutnya dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.
” Sekretariat merujuk kepada kenyataan akhbar Pengelola Bijaya Diraja bertarikh 9 Jun 2026 yang didakwa mengesahkan bahawa istiadat pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung pada 5 Jun lalu di Alor Gajah, Melaka adalah tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menuntut PAS Seremban dan Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap pemasyhuran berkenaan, memohon ampun kepada Tuanku Muhriz serta menghentikan sebarang campur tangan dalam urusan institusi diraja negeri.
Beliau berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan berkaitan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa cuba menggugat kedaulatan institusi beraja Negeri Sembilan.










