Kerjasama Awam Penting Perkukuh Daya Tahan Negara Hadapi Gangguan Bekalan Global

KUALA LUMPUR: Pengukuhan daya tahan negara dalam menghadapi gangguan bekalan global memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk rakyat yang digesa mengamalkan penggunaan sumber secara lebih cekap dan berhemah.

Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata perubahan landskap geopolitik dan ekonomi dunia menyebabkan sistem bekalan global yang sebelum ini stabil kini berdepan pelbagai ketidaktentuan.

Beliau berkata setiap usaha meningkatkan kecekapan penggunaan sumber mampu membantu negara mengurangkan impak tekanan global.

“Dalam persekitaran ini, setiap penyesuaian amat penting, sama ada mengoptimumkan perjalanan, mengurangkan pembaziran elektrik dan bahan api, membina rantaian logistik yang lebih pintar, memaksimumkan pengangkutan awam, atau lebih berhemat dalam perbelanjaan isi rumah.

“Setiap peningkatan kecekapan membantu melindungi ekonomi kita daripada tekanan global berkenaan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, baru-baru ini.

PPPK yang berada di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bertanggungjawab menyelaras tindak balas kerajaan terhadap gangguan bekalan global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat.

Mohd Hassan berkata daya tahan negara bukan hanya bergantung kepada usaha mendapatkan lebih banyak bekalan, malah melibatkan penggunaan sumber sedia ada secara lebih cekap, pengurangan pembaziran serta penyesuaian corak penggunaan mengikut keadaan semasa.

Katanya, apabila persaingan mendapatkan sumber di peringkat global semakin sengit, usaha pemuliharaan dan pengurusan sumber secara berhemat akan menjadi semakin penting bagi mengurangkan kesan kejutan luar terhadap negara.

Beliau berkata setiap tindakan harian rakyat turut memberi kesan kepada keupayaan negara menghadapi cabaran pada masa depan.

“Setiap liter penggunaan bahan api yang tidak perlu, setiap pembelian panik dan setiap bentuk pembaziran bakal menambah tekanan kepada sistem bekalan yang sudah tertekan.

“Pada peringkat isi rumah, pengurusan kewangan yang berhemat dan membuat penyesuaian adalah amat penting. Keluarga perlu mengutamakan perbelanjaan asas, meminimumkan pembaziran, mengurus hutang secara bertanggungjawab dan merancang kewangan dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata penggunaan tenaga secara cekap turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Menurutnya, langkah mudah seperti mengurangkan perjalanan yang tidak penting serta meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan elektrik mampu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan isi rumah dan penggunaan sumber negara.

Mohd Hassan turut menarik perhatian terhadap isu pembaziran makanan yang masih berlaku di sepanjang rantaian bekalan.

“Di Malaysia, sejumlah besar makanan masih didapati dibazirkan, termasuk makanan yang rosak atau melepasi tarikh luput sebelum ia sampai kepada pengguna.

“Dianggarkan kerugian pada peringkat pengedaran sahaja boleh mencecah kira-kira 10 peratus atau lebih, dengan lebih banyak pembaziran berlaku pada peringkat hiliran seperti premis runcit dan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh daya tahan negara melalui bantuan bersasar, disiplin fiskal serta peningkatan keupayaan strategik dalam sektor tenaga, sekuriti makanan, logistik dan rantaian bekalan industri.

“Kita disokong oleh institusi yang kukuh, keupayaan tenaga domestik yang mantap, kepimpinan berpengalaman serta penyelarasan yang lancar antara industri dan kerajaan.

“Yang penting, kita telah mengharungi krisis besar sebelum ini, dan pengajaran daripada masa lampau telah mengukuhkan kapasiti tindak balas kita hari ini,” kata Mohd Hassan.
a

BBerkaitan

Latest articles