Aduan Ugutan Jenayah Terhadap Azam Baki Diklasifikasi NFA, Kata AGC

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan aduan ugutan jenayah yang dibuat ahli perniagaan, Albert Tei atau Tei Jiann Cheing terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

AGC dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung aduan berkenaan.

Menurut AGC, hasil penelitian mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan.

“AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM berhubung aduan Jiann Cheing terhadap Azam bagi kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan tersebut mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan.

“Sehubungan itu, kertas siasatan berkenaan diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu hadir beberapa hari selepas Azam memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Jiann Cheing.

Saman berkenaan berkaitan dakwaan penerbitan dan penerbitan semula kenyataan mengenai Azam menerusi podcast, YouTube Shorts serta beberapa platform dalam talian lain. Dalam tindakan sivil itu, Azam antaranya menuntut ganti rugi dan perintah injunksi.

Sebelum ini, Jiann Cheing mendakwa beliau diugut, dihalang dan menjadi mangsa ketika cuba mendedahkan dakwaan berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan beberapa ahli politik di Sabah. Dakwaan tersebut menjadi antara asas kepada laporan polis yang dibuat pada 13 Mei lalu.

Sebagai susulan, PDRM membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan ugutan jenayah, termasuk mendapatkan keterangan daripada Azam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 3 Jun lalu.

Dengan keputusan AGC itu, siasatan berhubung aduan ugutan jenayah berkenaan kini ditutup tanpa sebarang tindakan pendakwaan.

BBerkaitan

Latest articles