SEREMBAN: Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan, menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali.
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
“Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa,” kata Azizi dalam kenyataannya, hari ini.
Jumaat lalu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang dilangsungkan di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka.
Pemasyhuran diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Azizi berkata, dengan cubaan menerima gelaran yang tidak sah itu dengan sendirinya, Tunku Nadzaruddin melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.
“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan,” katanya.










