KUALA LUMPUR, — Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.46 juta kepada syarikat barang kemas mewah dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL Ltd, selepas membenarkan tuntutan sivil yang difailkan syarikat itu berhubung 43 utas barang kemas yang didakwa tidak dipulangkan.
Hakim Datuk Quay Chew Soon memutuskan bahawa Rosmah bertanggungjawab kerana gagal menjelaskan keberadaan 43 utas barang kemas yang diserahkan kepadanya secara konsainan untuk tujuan penilaian, dan mendapati barang kemas tersebut kekal sebagai milik plaintif.
Mahkamah turut menolak tuntutan pihak ketiga yang difailkan Rosmah terhadap Ketua Polis Negara serta Kerajaan Malaysia.
Dalam penghakimannya, mahkamah memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan berserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Mahkamah turut membenarkan kos sebanyak RM75,000 kepada plaintif serta RM75,000 kepada pihak ketiga.
Menurut penghakiman, terdapat empat fakta yang tidak dipertikaikan, iaitu sebanyak 44 utas barang kemas telah diserahkan kepada Rosmah, ia diberikan secara konsainan untuk tujuan melihat dan menilai, tiada pembelian atau pembayaran dibuat, dan 43 utas daripadanya tidak dipulangkan.
Hakim berpendapat keadaan itu mencukupi untuk meletakkan tanggungjawab undang-undang ke atas defendan tanpa memerlukan plaintif membuktikan apa yang berlaku ketika barang kemas tersebut berada dalam simpanannya.
Mahkamah turut mengambil maklum bahawa Rosmah sebelum ini mengakui barang kemas berkenaan diterima secara konsainan dan bukan miliknya.
Menurut hakim, cubaan kemudian untuk menafikan susunan konsainan itu tidak dapat mengatasi pengakuan yang pernah dibuat sebelum ini.
Mahkamah juga memutuskan Rosmah gagal memenuhi tanggungjawab sebagai pemegang amanah simpanan (bailee), manakala kegagalan memulangkan barang kemas tersebut mewujudkan andaian awal kecuaian di sisi undang-undang.
Hakim berkata defendan tidak boleh bergantung kepada serbuan polis atau tindakan pihak lain untuk mengelakkan liabiliti, sebaliknya perlu membuktikan apa yang berlaku kepada barang kemas tersebut, bahawa penjagaan sewajarnya telah diberikan serta kehilangan itu bukan berpunca daripada kecuaian.
Mahkamah turut mendapati tiada bukti menunjukkan kesemua 43 utas barang kemas berkenaan pernah dirampas pihak polis.
Menurut penghakiman, hanya satu barang kemas dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan sebelum ini dan telah dipulangkan kepada plaintif, manakala tiada bukti dikemukakan bahawa baki barang kemas turut dirampas.
Sehubungan itu, mahkamah turut menolak tuntutan indemniti Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan selepas mendapati beliau gagal membuktikan semua barang kemas terbabit telah dibungkus, disimpan dan dirampas semasa operasi polis pada 2018.
Kes sivil itu melibatkan 44 utas barang kemas bernilai kira-kira AS$14.57 juta (sekitar RM68.3 juta) yang menurut plaintif diserahkan kepada Rosmah secara konsainan pada 2018.
Daripada jumlah itu, hanya satu gelang berlian zamrud berjaya diperoleh semula dan dipulangkan kepada syarikat berkenaan, manakala baki 43 utas barang kemas menjadi subjek tuntutan dalam prosiding ini.










