KOTA BHARU: Bekas senator, Datuk Dr Azhar Ahmad dan Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, cucu kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, memaklumkan bahawa mereka telah mencapai penyelesaian secara baik berhubung insiden yang didakwa berlaku ketika satu program universiti di Janda Baik, Pahang, bulan lalu.
Menerusi satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan mereka saling menerima permohonan maaf dengan hati terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati serta demi kepentingan semua pihak.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua mereka telah mengadakan perbincangan secara mesra dan bersetuju untuk tidak meneruskan sebarang pertikaian berhubung insiden berkenaan.
“Kami bersama-sama memohon maaf terhadap satu sama lain berhubung salah faham yang timbul daripada insiden yang didakwa berlaku ketika program Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 20 Mei lalu.
“Kami telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut memaklumkan bahawa perbincangan berkenaan dihadiri beberapa individu lain, termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan nama baik mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.
Dalam masa sama, Azhar dan Nik Alif Aiman merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahcara proses penyelesaian berkenaan.
Mereka turut berharap hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian.
“Kami menganggap perkara ini telah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati keputusan yang telah dicapai serta privasi semua yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan Nik Alif Aiman mendakwa beliau ditampar oleh seorang bekas senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Bagaimanapun, Azhar sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan beliau hanya menyentuh pipi Nik Alif Aiman sebagai tanda kemesraan.










