KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menoktahkan kerjasama politik dengan BERSATU dibuat bagi menghapuskan halangan ke arah kerjasama yang lebih luas dengan parti-parti Melayu lain.
Perkara itu dinyatakan Senator PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut beliau, keputusan tersebut bertujuan membuka ruang kepada penyusunan kerjasama politik yang lebih luas dalam kalangan parti-parti Melayu.
Hantaran itu dipercayai sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada malam Isnin yang mengumumkan keputusan menoktahkan hubungan politik dengan BERSATU.
Setakat ini, PAS belum mengeluarkan penjelasan lanjut mengenai bentuk kerjasama baharu yang dimaksudkan atau parti-parti Melayu yang berpotensi terlibat.
Semalam, Abdul Hadi dilaporkan mengesahkan bahawa hubungan politik antara PAS dan BERSATU telah berakhir, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi mengenai hala tuju baharu landskap politik pembangkang.
Perkembangan itu dilihat membuka ruang kepada pelbagai spekulasi berhubung kemungkinan penyusunan semula kerjasama politik melibatkan parti-parti Melayu menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin tiada sebarang masalah atau perbezaan pendapat antara UMNO dan PAS yang tidak boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak bersedia untuk terus berbincang.
Menurut beliau, setiap isu yang timbul boleh dirungkai menerusi perundingan dan pendekatan yang konstruktif demi kepentingan bersama.
“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan, tidak ada suatu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya.










