Tiada isu UMNO-PAS yang tidak boleh diselesaikan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin tiada sebarang masalah atau perbezaan pendapat antara UMNO dan PAS yang tidak boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak bersedia untuk terus berbincang.

Menurut beliau, setiap isu yang timbul boleh dirungkai menerusi perundingan dan pendekatan yang konstruktif demi kepentingan bersama.

“Saya yakin tidak ada suatu pun masalah yang tidak boleh dirungkaikan, tidak ada suatu pun perbezaan pendapat selama ini yang tidak boleh dilakukan penyatuan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Putrajaya pada Selasa.

Mengulas mengenai pertemuan antara pimpinan UMNO dan PAS yang berlangsung baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, pertemuan tersebut merupakan satu perkembangan positif yang wajar diteruskan melalui beberapa langkah susulan.

“Saya melihat pertemuan ini satu langkah positif yang harus disusuli dengan beberapa langkah selanjutnya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, perjumpaan berkenaan diadakan atas inisiatif kepimpinan kedua-dua parti bagi merungkai beberapa isu dan membincangkan agenda yang tidak semestinya berkaitan politik semata-mata.

Katanya, jika terdapat perkara yang mempunyai kaitan politik, ia perlu diperhalusi dengan mengambil kira kedudukan UMNO yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita merestui perjumpaan hasil inisiatif kepimpinan UMNO dan PAS untuk merungkai beberapa permasalahan dan agenda yang bukan agenda politik.

“Jika ia ada terkait pun dengan politik, ia tentunya akan lebih diperhalusi kerana kita tetap berada dalam Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini,” ujarnya.

Tambah beliau, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan perlu dihormati, namun ruang perundingan dan perbincangan antara parti-parti politik tetap perlu dibuka bagi menghadapi sebarang perubahan landskap politik pada masa hadapan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beliau dimaklumkan mengenai pertemuan antara pimpinan PAS dan UMNO di ibu negara, namun menyifatkannya sebagai pertemuan biasa dan tidak menghadirinya.

Media turut melaporkan bahawa pertemuan tersebut antara lain membincangkan bentuk kolaborasi yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles