KUALA LUMPUR, — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan PAS menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti, sambil menegaskan ia akan terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan perjuangan gabungan tersebut.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan BERSATU dibuat atas kehendak PAS.
Beliau berkata, sebagai parti pengasas Perikatan Nasional, BERSATU akan terus bersama gabungan itu serta memperkukuhkan teras perjuangannya.
Menurutnya, BERSATU akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang diperjuangkan PN sejak penubuhannya, selain mendukung hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia.
Muhyiddin turut menyeru seluruh kepimpinan, ahli parti dan rakan seperjuangan supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaharu ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa penyokong cita-cita Perikatan Nasional akan terus istiqamah bersama gabungan itu.
Muhyiddin berkata beliau percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan berharap Allah SWT mengurniakan petunjuk, taufik serta hidayah kepada semua pihak.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan perkembangan hubungan politik antara PAS dan BERSATU yang menyaksikan kerjasama antara kedua-dua parti tidak lagi diteruskan.










