KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 12 Jun ini bagi menentukan pelbagai urusan penting berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, termasuk penetapan tarikh-tarikh utama proses pilihan raya.
Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu akan meneliti beberapa perkara penting seperti tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai aspek persiapan bagi memastikan perjalanan PRN Dewan Negeri Johor Ke-16 dan PRN Negeri Sembilan Ke-16 dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Tumpuan kini terarah kepada keputusan mesyuarat tersebut susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu yang membuka laluan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu bagi penggal ke-16.
Pengumuman rasmi mengenai jadual pilihan raya itu dijangka menjadi petunjuk awal kepada perancangan dan strategi parti-parti politik yang bakal bertanding, selain memberi gambaran jelas mengenai tempoh kempen yang akan berlangsung.
SPR turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat selesai bagi mengumumkan segala keputusan termasuk tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Dewan Negeri Johor Ke-16.










