UMNO N. Sembilan Pertahan Pendirian, Dakwa Krisis Politik Berpunca Daripada Kelemahan Pentadbiran MB

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menegaskan parti itu tidak wajar dipersalahkan atas kemelut politik yang berakhir dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, sebaliknya mendakwa punca sebenar krisis tersebut adalah kegagalan Menteri Besar mengurus isu yang tercetus sejak awal.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, pihaknya telah berulang kali mengingatkan kerajaan negeri mengenai keperluan menangani isu berkaitan Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan sebelum keadaan menjadi lebih rumit.

Menurutnya, kelemahan dalam menangani perkara berbangkit menyebabkan konflik berlarutan sehingga mencetuskan perdebatan terbuka yang turut mengheret institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Co-Ruler ke dalam perhatian umum.

“UMNO telah memberi amaran lebih awal mengenai implikasi sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan baik. Malangnya, pandangan dan teguran tersebut tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan yang mengaitkan UMNO sebagai pihak yang mencetuskan ketidakstabilan politik sehingga membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Mustapha turut mengingatkan bahawa tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April lalu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap keupayaan beliau menyelesaikan krisis yang berlaku.

Katanya, sepanjang kemelut tersebut berlangsung, tiada usaha serius dilakukan oleh Menteri Besar untuk mengadakan rundingan rasmi atau pertemuan dengan kesemua 14 ADUN UMNO bagi mencari titik persamaan dan penyelesaian.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa UMNO terus dijadikan sasaran sedangkan teguran terhadap kepimpinan Menteri Besar turut disuarakan oleh beberapa pihak lain, termasuk tokoh-tokoh institusi adat negeri.

“Sehingga hari ini, Menteri Besar masih gagal mengemukakan penjelasan yang dapat menenangkan keadaan. Sebaliknya, UMNO terus dipersalahkan atas segala yang berlaku,” katanya.

Tegas Mustapha, pendirian UMNO dalam isu tersebut dibuat berasaskan tanggungjawab mempertahankan kepentingan negeri serta memelihara martabat institusi yang menjadi tunjang Negeri Sembilan.

Kemelut politik berkenaan akhirnya membawa kepada pembubaran DUN Negeri Sembilan minggu lalu, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menentukan landskap politik baharu negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles